Sunday, 26 August 2012

p r o l o g



Rintik-rintik hujan mulai kelihatan. Semakin lebat membasahi bumi. Si nenek masih menunggu kepulangan cucu tersayang di beranda rumah kecilnya. Kedutan di wajah tuanya semakin kelihatan berikutan usianya yang meningkat. Dari jauh dapat dilihat oleh si nenek bayang tubuh kecil cucunya sedang berlari-lari anak mengharungi jalan yang dipenuhi lopak-lopak air. Senyuman terukir di wajah tua itu.

          "Nenek, maafkan saya. Saya terleka bermain.'' Budak lelaki berusia lingkungan lapan tahun itu masuk ke rumah dan menghampiri neneknya. Pakaiannya basah kuyup dan kotor.

          "Izz, kenapa tak pakai kasut? Macam mana kalau terpijak kaca?" Nenek bertanya kepada cucunya, Izz setelah melihat si cucu tidak memakai kasut ketika berlari pulang ke rumah dan hanya memegang kasutnya di tangan.

          "Sebab kasut ni baru beli. Izz tak nak kotorkan.'' Petah anak kecil itu berkata-kata. Rambutnya yang basah sedang dikeringkan si nenek menggunakan tuala kecil. Nenek hanya tersenyum. Kadang kala dia berasa simpati terhadap cucunya yang kematian emak dan ditinggalkan pula bapa ketika dia masih berusia 3 tahun.

          "Nenek, tengok anak kucing tu!" Tiba-tiba Izz menunjuk ke arah seekor anak kucing yang sedang dibelai seekor kucing dewasa di bawah satu pondok kecil tidak jauh dari situ. "Kucing besar tu mak dia ke?'' Izz bertanya. Nenek menggangukkan kepala sambil tersenyum. Izz berkerut dahi, lagaknya seperti sedang memikirkan sesuatu. "Mana ayah dia?'' Soalan diajukan sekali lagi.

          "Kucing ni haiwan yang tak dijaga ayahnya. Cuma mak dia je yang jaga anak-anak. Kesian kan.'' Nenek menjawab sambil menggantikan pakaian Izz yang basah kuyup. Wajah Izz berubah muram setelah mendengar kata-kata Nenek.

          "Tapi... Izz lagi kesian. Mak tiada, ayah pun tiada. Semua tak sayang Izz. Izz jahat ke, nenek? Izz nak mak dan ayah macam orang lain.'' Suara Izz kedengaran lemah. Tersentap Nenek mendengar keluhan cucunya itu. Dia segera mendakap Izz dan bersuara lembut, "Taklah. Kamu budak baik. Mak dan ayah dah tiada dalam dunia ni. Doakan mereka ke syurga, ya. Lagipun, kamu ada nenek.''

          Izz tersenyum semula. "Nenek jangan tinggalkan Izz, ya. Janji dengan Izz tau.'' Air jernih mengalir dari hujung ekor mata Nenek. Dia terfikir bagaimana nasib cucunya setelah dia juga pergi dari dunia ini. Umurnya juga sudah lanjut. Bila-bila masa sahaja dia akan diambil-Nya.