Saturday, 22 September 2012

bab 3

Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, usia Izz menjangkau awal 20-an. Anak muda itu telah membuat keputusan untuk berhijrah ke bandar dan hasratnya disokong oleh Nek Jah.

          Suatu malam, ketika Izz sedang berkemas, tumpuannya dicuri sebuah beg berwarna hitam yang nipis di bawah almari. Pada mulanya, dia tidak mempedulikan beg tersebut. Tetapi hatinya mendesak untuk mengambil beg hitam itu. Akhirnya, dia mengikut kata hati.

          Beg nipis itu dibuka dan dia terkedu saat melihat foto-foto dan beberapa helai kertas yang terdapat di dalamnya. "Ini..." Izz menelan air liur, seperti tidak percaya apa yang sedang dilihat. Seorang wanita yang berkulit putih dan berambut panjang duduk di kerusi kelihatan di dalam gambar. Senyuman terukir di wajah, menampakkan sebaris gigi putihnya. "...mak." Izz bersuara perlahan. Wajah wanita di dalam gambar itu persis orang Cina. Tidak hairanlah jika mata Izz sepet.

          Kemudian, dia mengeluarkan gambar kedua. Kali ini seorang lelaki yang memakai kot segak berdiri sambil tersenyum. Kacak. "Ayah?" Izz tidak sempat mengenali ayahnya kerana ketika berusia 3 tahun, dia sudah ditinggalkan si bapa. Izz yang menyedari ayat yang tertera di sebelah bawah gambar membacanya. 'Goong Abdullah, 19 Dec 1984, hari pertama di Kanada.'

          Pandangan Izz teralih pula kepada beberapa helai surat yang turut terdapat di dalam beg itu.

19 Dec 1993
    Hyun Ain, isteriku. Di saat awak membaca surat ini, saya sudah tiada lagi di kampung itu. Maafkan saya, saya terpaksa meninggalkan awak, mak dan anak kita. Saya mempunyai sebab saya yang tersendiri. Jaga dia sebaik-baiknya, Jadikan dia pemuda yang kental kerana ujian sentiasa menanti. Saya amat berharap dapat bertemu anak kita, suatu masa nanti. Maafkan saya, Hyun Ain. Semua ini bukan perancangan kita. 

   Izzat, anakku. Ada yang ingin ayah sampaikan kepada kamu walaupun ayah tidak pasti sama ada kamu dapat membaca surat ini atau tidak. Ayah harap kamu menjadi tabah. Penuhkan dada dengan ilmu kerana dunia di luar lebih mencabar dan akan lebih mencabar jika tiada ilmu. Maafkan ayah kerana terpaksa meninggalkan kamu. Keadaan yang memaksa ayah untuk melakukan semua ini. Ayah yakin, suatu saat kamu akan tahu sebabnya. Anakku, hargai apa yang kamu ada sekarang supaya kamu tidak menyesal. 

yang benar,
Goong Abdullah

           "Ayah, tunggu saya. Saya akan cari ayah. Tunggu, ya." Izz menggenggam erat surat itu. Semangatnya untuk mencari si bapa semakin membara. Mulai esok, dia akan berpindah ke bandar dan tinggal di sana. Dalam masa yang sama, dia ingin mencari bapanya.

* * * * * * * * * *

Beg pakaian dibawa masuk ke dalam teksi. Sejak tadi, Nek Jah tidak henti-henti memberi pesanan kepada Izz. Mulutnya bagaikan bertih jagung yang tidak berhenti bergerak. Anak muda yang sudah letih untuk mendengar itu hanya tersengih seperti kerang busuk dan mengangguk-anggukkan kepala.   

          "Nenek, cukuplah itu. Rasanya, pesanan tu dah tiga kali nenek ulang." Salah seorang cucu Nek Jah cuba memotong percakapan neneknya. Kata-kata cucu itu disambut baik Izz, "Yelah, Nek Jah. Sampai dah hafal dah ayat tu." Izz menggaru kepalanya yang tidak gatal. Nek Jah mengesat air mata di lengan baju kurung kedahnya.

          "Maaflah... tapi nek Jah rasa sedih sangat. Kamu ni nek Jah dah anggap macam cucu sendiri. Lagipun, bandar dan kampung jauh berbeza. Betul ke kamu nak pindah ke sana?" wanita pertengahan abad itu meluahkan kebimbangannya. Izz menelan air liur bersama kepahitan yang dirasa saat ini. Dia hnya menganggukkan kepala.


          Setelah mengucapkan kata-kata terakhir

























Sunday, 16 September 2012

bab 2

"Cuba kira betul-betul. Salahlah." Anne yang sedang mengajar Izz matematik menegur. Izz menggaru kepalanya yang tidak gatal. Jari-jemari dibuka dan ditutup, sibuk mengira.

         "Yeay! Dah dapat jawapannya. Betul tak?" Izz menulis angka di dalam kotak yang disediakan. Anne mengaggukkan kepala sambil tersenyum. Izz merebahkan diri ke tikar. Pandangannya tertumpu pada langit biru yang terbentang luas. Tenang. Jauh dari kesibukan kota yang menyesakkan jiwa.

         "Seronok tak ada ayah dan emak?" Soalan itu terkeluar dari mulut Izz. Tidak dinafikan rasa cemburu kadang kala hinggap di hatinya saat melihat Anne disamping ibu bapa. Anne baring di sebelah Izz. "Seronok." Ringkas sahaja jawapannya kerana risau jika Izz terkecil hati.

         "Nanti bila saya dah besar, saya nak cari ayah saya semula. Nenek kata emak saya je yang dah tiada. Tapi ayah saya masih ada. Cuma dia hilang." Petah Izz berkata-kata, penuh azam.

          Anne menyokong. "Setuju! Awak tak boleh putus asa. Mungkin dia pun sedang tunggu awak." Anne mengukir senyuman. "Dia ada di bawah langit ni. Langit yang sama dengan kita sekarang." Anne memberi harapan. Izz semakin bersemangat untuk mencari ayahnya.

          "Awak nak rasa rambutan?" Izz bertanya. Belum sempat Anne menjawab, budak lelaki itu sudah berdiri dan pantas memanjat pokok rambutan. Anne duduk dan mendongak memerhati kelincahan Izz. Satu, dua, tiga, empat buah rambutan yang dijatuhkan dari atas pokok. Kemudian, Izz meloncat turun. Mereka makan buah rambutan bersama-sama. Hati Anne berasa gembira, senang, tenang. Dia tidak pernah berjumpa dengan rakan yang berpewatakan seperti Izz. Rakan-rakannya sebelum ini semuanya formal dan berlatar belakangkan keluarga berada.

           * * * * * * * * * * 

         Sudah memasuki dua minggu, Anne dan keluarganya berada di kampung itu. Izz sedang bermain tali skipping bersama rakan barunya, Anne. Anne duduk di tepi dan memberi laluan kepada Izz untuk mencuba permainan tali itu. Cepat sahaja Izz menguasainya.

         Tali berwarna merah jambu itu bertukar tangan. Giliran Anne pula bermain. Satu, dua, tiga, empat, li- kaki Anne tersangkut dan dia tersadung jatuh ke tanah. Izz segera membantu rakannya yang terjatuh. Cecair merah keluar laju dari tepi dahinya. Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu mula menangis. Izz berlari memanggil neneknya.

         "Kenapa jadi macam ni?" Nenek yang segera datang bertanya, kerisauan. Disusuli Puan Qistina dan Tuan Shairi. Anne didukung dan dibawa ke klinik berdekatan.

          Ketika di rumah, Izz telah dimarahi Nenek. "Izz, apa nenek nak cakap dengan ibu ayah dia? Macam mana kalau dia ambil apa-apa tindakan? Izz, kamu buat nenek risaulah." Nenek buntu memikirkan sikap cucunya. Izz diam seribu bahasa. Perasaan bersalah menyelubungi diri.

          Sejak peristiwa itu, Tuan Shairi dan keluarganya sudah tidak lagi datang ke kampung itu. Dan khabarnya projek yang diusahakan sudah diuruskan oleh wakilnya. Izz kembali bermain seorang diri di sungai atau bertemu rakan-rakannya di pekan.

          Beberapa tahun kemudian, kampung dikhabarkan dengan pemergian Nenek. Nenek yang menghidap penyakit tua telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi Izz. Izz yang ketika itu berumur sebelas tahun mula berdikari. Tiada lagi insan yang akan menjaga makan minumnya, bertanyakan setiap apa yang dilakukan seperti selalu.

* * * * * * * * * * *


Suatu malam, Izz yang sedang duduk di tangga rumah bersuara kecil. "Nenek, sekarang nenek pula tinggalkan Izz. Izz rindu nak jual kuih nenek, rindu nak dengar nyanyian nenek, rindu nak kena marah dengan nenek." Dia menghela nafas, lemah.

          "Nenek, kirim salam saya kepada emak, ya. Kata kat dia yang Izz rindu dia sangat-sangat. Rindu sangat..." Tanpa disedari air jernih berlinang. Dia tidak dapat menahan tangisannya. Hidupnya terasa sunyi. Izz yang baru berumur sebelas tahun perlu hidup sendirian.

          Sejak pemergian Nenek, Nek Jah yang banyak membantu Izz menguruskan kehidupan. Nek Jah merupakan sahabat neneknya. Nek Jah sering menghantar lauk pauk ke rumah Nenek semasa Nenek hidup. Izz pernah dipelawa Nek Jah untuk tinggal bersama wanita itu tetapi ditolak Izz kerana banyak kenangannya bersama Nenek di rumah uzur itu.


bab 1

"Izz, turun bawah sekarang! Bahayalah di atas tu!'' Nenek menjerit dari bawah sambil kepalanya mendongak memandang cucunya yang sedang tersengih di atas pokok rambutan. Izz sudah biasa dengan kehidupan kampung. Baginya, jatuh dari pokok, dikejar kerbau atau lemas dalam sungai adalah keseronokan. Tetapi, Nenek amat risau terhadap sifat berani yang melampau itu,

          "Kejap lagi Izz turunlah.'' Izz sibuk memetik buah rambutan dan dimasukkan ke dalam baju. Nenek memegang kepala, pening melihat kerenah cucu tunggalnya. Tiba-tiba, derauan enjin kereta kedengaran dari jauh. Nenek dan Izz memerhati kenderaan mewah itu memasuki lorong rumah mereka. Setibanya kereta itu di hadapan rumah Nenek, seorang lelaki segak keluar dari kereta dan menghampiri Nenek. Izz hanya memerhati dari atas pokok. 

          Nenek dan lelaki tinggi lampai itu sedang berbual sesuatu. Mungkin lelaki itu ingin bertanyakan tempat kepada Nenek, fikir Izz. Izz terus melompat turun ke tanah dan berlari mendapatkan neneknya. 

          Mata Izz membulat teruja saat melihat kereta mewah berwarna hitam itu. "Wah!'' Senyuman melebar di wajah comotnya. Ketika dia meneliti kereta itu dari sebelah neneknya, tiba-tiba dia terlihat seorang kanak-kanak perempuan berada di dalam kereta itu. 

          Perbualan Nenek dan lelaki tadi dimatikan. Lelaki itu kembali masuk ke dalam keretanya dan berlalu pergi dari kawasan rumah Nenek. 

          "Nenek, mereka siapa? Mereka nak apa?'' Izz mengangkat kening. Nenek menoleh ke arah Izz, "Mereka datang dari bandar dan akan tinggal di kampung ni untuk beberapa minggu sebab dia ada projek kat sini. Jadi, dia tanya Nenek kalau ada rumah tumpangan di sini." Nenek menarik tangan kecil Izz dan berjalan masuk ke dalam rumah. Izz hanya menganggukkan kepala.

          * * * * * * * * * *

          Izz mengintai seorang kanak-kanak perempuan dari tepi pokok. Kanak-kanak itu ialah anak lelaki yang datang ke rumah Nenek semalam. "Izz, intai siapa tu?'' Tiba-tiba sahaja dia disergah oleh Nenek. Izz pantas memaling ke belakang dan memegang dada, terkejut.

          "Hui! Terkejut Izz! Izz tak intai sesiapalah. Lagipun ni hal budak-budak kecil.'' Izz tersengih. Nenek menjenguh ke arah yang diintai Izz dan terlihat seorang budak perempuan berpakaian kemas sedang berdiri di sebelah emaknya. Nenek kembali memandang Izz dan tersenyum.

          "Amboi, dah besar cucu nenek!'' Kata-kata Nenek membuat Izz tersipu malu. Kemudian, Nenek berlalu pergi setelah dipanggil pasangan dari bandar itu.

          Izz berjalan masuk ke dalam rumah dan baring di atas tikar mengkuang sambil tangannya mengipas diri menggunakan buku tulis. Dia menyanyi-nyanyi kecil. Walaupun kehidupannya susah dan perit, dia tidak pernah mengeluh. Tabah hati si kecil itu. 

          Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi daun-daun kering dipijak dari tepi rumah. Biawak? Fikirnya. Lantas, Izz bangun dan berlari ke tepi rumah untuk melihat keadaan. 

          Keningnya terangkat saat melihat budak perempuan yang diperhati sejak tadi sedang bermain   batu seremban seorang diri. Izz melompat keluar melalui tingkap dan menegur ramah, "Budak bandar pun tahu main permainan batu ni?''

          Budak perempuan yang berpakaian kemas itu mengangkat wajah, memandang Izz yang sedang berdiri di hadapannya. Wajahnya putih, bersih, berbeza jika dibandingkan Izz yang comot dan tidak terurus itu. Rambut panjangnya ditocang rapi. Budak perempuan yang bernama Anne Ailisya itu menganggukkan kepala. "Saya Anne.'' Ringkas dia perkenalkan diri.

          "Awak boleh panggil saya..." Belum sempat Izz menghabiskan ayat perkenalan dirinya, namanya dipanggil Nenek. "Izz!!" Izz dan Anne menoleh ke arah nenek, serentak.

          "Kejap, nek!" Izz melaungkan kepada Nenek. Kemudian, dia kembali memandang Anne. "Haaa, itulah nama panggilan saya.'' Izz menepuk dada, bangga. Entah apa yang dibanggakan. Anne tergelak kecil melihat keletah Izz yang selamba. Setelah itu, Izz berlalu pergi untuk mencari neneknya. Anne hanya memerhati dari tempatnya berdiri.

 * * * * * * * * * *

          Esok lengkap seminggu keluarga En.Shairi di kampung itu. Izz yang tidak bersekolah hanya diajar oleh guru yang diupah untuk mengajar budak-budak kampung sepertinya. "Izz, kerja sekolah dah siap?" Nenek yang sedang menyiapkan kuih-muih untuk dijual pada keesokan hari bertanya. 

          "Dah nak siap. Sikit je lagi.'' Izz membalas sambil memusingkan pensel di jari-jemarinya. Tiba-tiba dia merasakan cecair jatuh ke atas hidungnya. "Eh!" Dia mengesat air di hidungnya menggunakan jari telunjuk dan melihat air itu. Kemudian, dia mendongak ke atas. Siling telah bocor! Hujan semakin lebat turun. 

          Pantas dia berdiri dan berlari ke dapur untuk mengambil besen. "Hati-hati, Izz. Jangan berlari.'' Nenek memberi pesanan. Tetapi, tidak dipeduli Izz yang terus berlari. Sudah banyak tempat yang bocor pada atap rumah uzur itu. 

          Keesokan hari, awal pagi lagi Izz sudah keluar rumah. Dia akan membantu Nenek menjual kuih-muih di kampung itu. "Hati-hati, ya!" Nenek mengingatkan Izz. Izz menganggukkan kepala dan tersenyum. Kemudian, dia mula mengayuh basikal tua neneknya.

          "Kuih! Kuih!" Suara Izz bergema. Rambutnya ditiup angin lembut. Pasti ada yang membeli kuih buatan neneknya kerana neneknya sudah melakukan pekerjaan itu selama lebih kurang sepuluh tahun. Dalam perjalanan menjual kuih, dia terserempak dengan Anne yang sedang membeli barang bersama emaknya.

          "Hai, Anne.'' Izz turun dari basikal dan menegur. Anne hanya melemparkan senyuman. Gadis itu memandang ke arah basikal Izz yang membawa bakul berisi kuih muih. Izz seperti dapat membaca fikiran budak perempuan itu. "Saya jual kuih. Nak ikut?'' Izz mempelawa. Anne menggeleng kepala walaupun dia mahu. Dia tahu pasti emaknya tidak akan membenarkannya pergi bersama budak kampung itu.

          Izz menghampiri Puan Qistina. "Mak cik, boleh Anne ikut saya jual kuih?" Tindakan selamba Izz itu mengejutkan Anne. Puan Qistina mengangkat kening sambil memandang Izz. Kemudian, dia memandang basikal tua yang ditunggang Izz.

          "Eh, tak boleh. Anne tak biasa naik basikal macam tu. Mak cik takut dia jatuh." Puan Qistina mengusap kepala Izz. Izz merenung wajah wanita di hadapannya, seperti merayu. Akhirnya, Puan Qistina mengizinkan.

          "Baiklah, baiklah. Tapi, jangan bagitahu pak cik. Mak cik takut nanti pak cik marah pula." Lampu hijau yang diberi Puan Qistina itu membuat Izz tersenyum. Puan Qistina mengangkat Anne naik ke atas tempat duduk belakang basikal. "Hati-hati bawa anak mak cik."

           Izz mula mengayuh. Bajunya digenggam erat Anne. "Kuih, kuih!" Izz menjerit.

          "Awak nak cuba jerit? Cubalah." Izz berkata kepada Anne yang sejak tadi diam membisu.

          "Kuih, kuih." Anne yang teragak-agak untuk menjerit akhirnya melakukannya. Tetapi, disambut dengan gelak tawa Izz. Lelaki itu ketawa terbahak-bahak.

          "Mana ada orang jual kuih tapi bisik-bisik macam tu. Siapa nak beli kalau macam ni?" Tawa Izz masih bersisa. Anne kembali membisu, segan. "Kuih, kuih! Haa... macam tu lah. Cuba awak jerit lagi sekali." Izz sekali lagi mempelawa.

          "Tak nak." Tegas Anne bersuara. Tetapi Izz sengaja terus mendesak. Anne yang rimas dirinya didesak secara spontan menjerit, lantang. "Kuih, kuih!!! Puas hati?" Izz terkejut. Anne juga terkejut dirinya menjerit sebegitu.

          "Bagus! Macam tu lah kalau nak jual kuih." Izz memuji. Kamudian, mereka tergelak kecil. Pengalaman begini adalah kali pertama bagi Anne, menjerit sepuas hati. Hatinya gembira. 
        

Sunday, 26 August 2012

p r o l o g



Rintik-rintik hujan mulai kelihatan. Semakin lebat membasahi bumi. Si nenek masih menunggu kepulangan cucu tersayang di beranda rumah kecilnya. Kedutan di wajah tuanya semakin kelihatan berikutan usianya yang meningkat. Dari jauh dapat dilihat oleh si nenek bayang tubuh kecil cucunya sedang berlari-lari anak mengharungi jalan yang dipenuhi lopak-lopak air. Senyuman terukir di wajah tua itu.

          "Nenek, maafkan saya. Saya terleka bermain.'' Budak lelaki berusia lingkungan lapan tahun itu masuk ke rumah dan menghampiri neneknya. Pakaiannya basah kuyup dan kotor.

          "Izz, kenapa tak pakai kasut? Macam mana kalau terpijak kaca?" Nenek bertanya kepada cucunya, Izz setelah melihat si cucu tidak memakai kasut ketika berlari pulang ke rumah dan hanya memegang kasutnya di tangan.

          "Sebab kasut ni baru beli. Izz tak nak kotorkan.'' Petah anak kecil itu berkata-kata. Rambutnya yang basah sedang dikeringkan si nenek menggunakan tuala kecil. Nenek hanya tersenyum. Kadang kala dia berasa simpati terhadap cucunya yang kematian emak dan ditinggalkan pula bapa ketika dia masih berusia 3 tahun.

          "Nenek, tengok anak kucing tu!" Tiba-tiba Izz menunjuk ke arah seekor anak kucing yang sedang dibelai seekor kucing dewasa di bawah satu pondok kecil tidak jauh dari situ. "Kucing besar tu mak dia ke?'' Izz bertanya. Nenek menggangukkan kepala sambil tersenyum. Izz berkerut dahi, lagaknya seperti sedang memikirkan sesuatu. "Mana ayah dia?'' Soalan diajukan sekali lagi.

          "Kucing ni haiwan yang tak dijaga ayahnya. Cuma mak dia je yang jaga anak-anak. Kesian kan.'' Nenek menjawab sambil menggantikan pakaian Izz yang basah kuyup. Wajah Izz berubah muram setelah mendengar kata-kata Nenek.

          "Tapi... Izz lagi kesian. Mak tiada, ayah pun tiada. Semua tak sayang Izz. Izz jahat ke, nenek? Izz nak mak dan ayah macam orang lain.'' Suara Izz kedengaran lemah. Tersentap Nenek mendengar keluhan cucunya itu. Dia segera mendakap Izz dan bersuara lembut, "Taklah. Kamu budak baik. Mak dan ayah dah tiada dalam dunia ni. Doakan mereka ke syurga, ya. Lagipun, kamu ada nenek.''

          Izz tersenyum semula. "Nenek jangan tinggalkan Izz, ya. Janji dengan Izz tau.'' Air jernih mengalir dari hujung ekor mata Nenek. Dia terfikir bagaimana nasib cucunya setelah dia juga pergi dari dunia ini. Umurnya juga sudah lanjut. Bila-bila masa sahaja dia akan diambil-Nya.